Wednesday, July 23, 2008

rakyat Muslim Bosnia bersyukur


::Rodovan Karadzic::


(Bekas Presiden Serbia diberkas ketika naik bas di pinggir Belgrade)


BELGRADE: Bekas Presiden Serbia, Rodovan Karadzic yang diburu sejak 13 tahun lalu kerana merancang dan mengarahkan pembunuhan paling kejam di Eropah sejak Perang Dunia Kedua, berjaya diberkas kelmarin. Berita penahanan itu sememangnya dinantikan ramai penduduk Muslim Bosnia selepas Karadzic dinamakan dalang utama pembunuhan kejam sekurang-kurangnya 11,000 rakyat Bosnia berkenaan.

"Karadzic sudah dapat dikesan dan ditahan," kata Presiden Serbia Boris Tadic dalam satu kenyataan. Penahanan Karadzic kini menjadikan dua suspek jenayah masih diburu tribunal antarabangsa di The Hague, Belanda iaitu bekas komander tentera, Jeneral Ratko Mladic dan Goran Hadzic, bekas ahli politik Serbia yang didakwa terbabit dalam pembersihan etnik di Croatia. Karadzic dan Mladic, dikehendaki kerana pembunuhan kejam di Srebrenica apabila kira-kira 8,000 lelaki Muslim Bosnia yang tidak bersenjata, ditahan dan dibunuh. Mayat mereka kemudian dikumpul dan ditolak dengan jentolak ke dalam beberapa kubur besar pada Julai 1995.
Rodovan Karadzic
Bekas wakil Amerika Syarikat yang bertindak sebagai perunding Balkan ketika konflik pada 1990-an itu, Richard Holbrooke, menyifatkan Karadzic sebagai Osama bin Laden Eropah dan 'arkitek pembunuhan beramai-ramai.' Sumber kerajaan Serbia berkata Karadzic ditahan kelmarin selepas pergerakannya dipantau di Serbia sejak berminggu-minggu lamanya berikutan maklumat daripada agensi perisikan asing. Karadzic juga dikatakan tidak melawan ketika ditahan pihak berkuasa. Bekas presiden Serbia itu dikatakan menyamar sebagai doktor perubatan alternatif dan bekerja di sebuah klinik di Serbia dengan menggunakan identiti palsu ketika menyembunyikan diri selama 13 tahun.
Pegawai Serbia, Rasim Ljajic berkata Karadzic menyimpan rambut panjang, berjanggut dan memakai cermin mata untuk menyembunyikan wajahnya. Ljajic berkata dia berjalan secara bebas di jalan raya dan menyara hidup dengan menjadi doktor. Penyiasat melakukan proses pengenalan dirinya secara rasmi, termasuk ujian DNA sebelum Karadzic disoal siasat semalaman. Penahanan Karadzic adalah antara syarat utama menyertai Kesatuan Eropah (EU) yang sememangnya dimahukan majoriti rakyat Serbia. Bagaimanapun, kira-kira satu pertiga rakyatnya berkata mereka membantah keanggotaan itu sehinggalah EU menghentikan usaha menyokong kemerdekaan wilayah Kosovo. Sementara itu, berita penangkapan Karadzic disambut kegembiraan ramai penduduk yang berhimpun di jalan raya sekitar Sarajevo, bagi meraikan lelaki yang bertanggungjawab di atas pembunuhan ribuan nyawa rakan dan saudara mara mereka. "Saya terlalu gembira sehinggakan mengejutkan seluruh keluarga," kata penduduk, Fadil Bico, ketika deruan kereta dengan bunyi hon kedengaran sebagai tanda gembira. Stesen radio Bosnia pula menyiarkan semula petikan ucapan anti-Bosnia Karadzic ketika konflik berkenaan. - Reuters

No comments: